More
    HomeIbadahHukum Solat Di Tepi Jalan

    Hukum Solat Di Tepi Jalan

    Ikuti kami untuk info terkini

    Kebiasaan musim raya, bagi yang tinggal di pantai timur, sudah menjadi kebiasaan mereka akan menghadapi kesesakan lalu lintas atau bahasa kampungnya makan jem. Ramai di antara kita yang berhenti solat di tepi jalan.

    Persoalannya apakah hukum kita solat di tepi jalan?

    Untuk menjawab persoalan ini mari kita tinjau satu hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Umar RA bahawa :

    أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعَةِ مَوَاطِنَ فِي الْمَزْبَلَةِ وَالْمَجْزَرَةِ وَالْمَقْبُرَةِ وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ وَفِي الْحَمَّامِ وَفِي مَعَاطِنِ الإِبِلِ وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ ‏”‏ ‏

    Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang solat di tujuh tempat: tempat (pembuangan) sampah, tempat penyembelihan haiwan, perkuburan, di tengah jalan, tempat pemandian (tandas), tempat unta dan di atas Ka’bah.”

    Riwayat Tirmizi

    Hadis yang lain dinyatakan dari Abi Said AlKhudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاًّ لْمَقْبَرَةَ وَالْحَمَّامَ

    Maksudnya: “Semua tempat (Tanah semuanya) adalah masjid melainkan kubur dan tandas.”

    Antara tempat yang dilarang untuk kita solat antaranya :

    1. Tempat Pembuangan Sampah iaitu tempat sampah atau tempat pembuangan sampah yang kebiasaannya terdapat najis. Maka solat dilarang kerana kebiasaannya tempat ini ada najis seperti pampers anak-anak dan sebagainya. Maka seorang muslim tidak layak berdiri menghadap Allah di tempat tersebut.
    2. Tempat Penyembelihan (haiwan). Kebiasaannya tempat ini dikotori dengan najis seperti darah, tahi dan sebagainya
    3. Perkuburan. Kita dilarang solat diperkuburan agar terhindar dari penyembahan terhadap kubur atau menyerupai orang yang menyembah kuburan. Adapun solat jenazah adalah diharuskan. Termasuk dilarang solat di dalamnya juga adalah masjid yang ada di dalamnya kubur. Di dalam satu hadis yang mutawatir dinyatakan bahawa Nabi SAW melaknat orang yang menjadikan kuburan sebagai masjid dan melarangnya.
    4. Tengah Jalan atau tepi jalan. Kebiasaannya larangan ini ialah pada jalan yang sibuk atau biasanya dilalui oleh orang ramai. Adapun jalan yang tidak terpakai atau jalan yang tidak dilalui oleh orang, maka tidak dilarang untuk (menunaikan) solat. Sebab dilarang solat di tengah jalan yang sibuk kerana ia menyempitkan jalan dan menghalangi lalu lalang orang ramai. Solat di tengah jalan boleh jadi makruh dan boleh jatuh haram jika menghalangi orang melaluinya atau bimbang menyebabkan dirinya terjadi kemalangan dan sebagainya. Contoh solat di tengah jalan ialah solat di laluan kecemasan di lebuh raya. Untuk pengetahuan umum laluan ini sebenarnya disediakan untuk laluan motosikal, polis dan ambulan. Maka dengan cara kita berbuat demikian kita telah menyebabkan gangguan dan bahaya bukan sahaja kepada diri kita yang solat, malah kepada penunggang motosikal dan sebagainya. Namun kalau kita solat di tepi jalan yang bukan laluan kecemasan adalah dibolehkan. Hukum juga boleh berubah andai ada sesuatu maslahah yang menyebabkan keperluan kita solat di tepi jalan contohnya tiada tempat perhentian, masjid penuh sesak dan sebagainya.
    5. Bilik Mandi. Dalam hal ini Nabi SAW melarang solat di bilik mandi sebagaimana dalam hadis Abi Said di atas. Sebab larangan solat di dalam bilik mandi kerana ia merupakan tempat tinggal syaitan dan tempat pembuangan najis.
    6. Kandang Unta. Banyak hadis nabi larang solat di kandang unta sebagaimana sabdanya yang mafhumnya :

      “Solatlah kamu dalam kandang kambing dan janganlah kamu solat dalam kandang unta”
      (Riwayat Tirmidzi)

    7. Di atas Ka’bah. Para ulama melarang hal tersebut, kerana antara syarat utama dalam solat ialah mengadap kiblat.

    Kesimpulannya : Solat di tengah jalan boleh berubah hukum mengikut keadaan sesuatu tempat. Walaupun di dalam kitab ada menyatakan larangan solat di tengah jalan, tetapi realiti kenderaan hari ini tidaklah sama seperti kenderaan dahulu.

    Antara sebab lain kerana kebiasannya kenderaan utama dahulu adalah unta, kuda dan sebagainya. Oleh itu, di tengah jalan zaman dahulu ada terdapat banyak najis haiwan. Ada pun zaman sekarang ramai yang solat di tepi/pinggir jalan. Maka hukumnya juga berubah.

    Walau bagaimanapun jika ianya memudaratkan maka hukumnya boleh jatuh haram. Dalam hal ini Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarah al-Muhadzab mengatakan :

    ولا يصلي في قارعة الطريق لحديث عمر رضى الله عنه “سبع مواطن لاتجوز فيها الصلاة وذكر قارعة الطريق” ولأنه يمنع الناس من الممر وينقطع خشوعه بممر الناس فإن صلى فيها صحت صلاته لأن المنع لترك الخشوع أو لمنع الناس من الطريق وذلك لا يوجب بطلان الصلاة

    Maksudnya: Janganlah solat di jalan umum kerana hadis dari ‘Umar menyebut bahawa ada tujuh tempat yang dilarang menunaikan solat, salah satunya adalah jalan umum. Solat di jalan umum dilarang kerana menghalangi jalan orang lain dan kekhusyukan solat terganggu disebabkan orang lalu-lalang. Justeru solat yang dilakukan di jalan umum tetap sah, kerana larangan di sini disebabkan oleh hilangnya kekhusyukan dan menganggu jalan orang lain. Hal ini tentu tidak menunjukkan pada pembatalan solat.

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING