More
    HomeIbadahBilakah Waktu Afdhal Untuk Kita Melakukan Korban (Menyembelih Haiwan)?

    Bilakah Waktu Afdhal Untuk Kita Melakukan Korban (Menyembelih Haiwan)?

    Sebagaimana yang kita maklum bahawa di dalam mazhab Syafie waktu melakukan korban ialah selama 4 hari. Ia bermula pada 10 Zulhijjah diikuti dengan Hari Tasyrik iaitu 11,12, dan ,13 Zulhijjah.

    Penyembelihan haiwan korban harus dilakukan pada waktu yang telah ditentukan. Jika dilakukan di luar waktu yang telah ditentukan, maka hukumnya tidak boleh dan tidak sah.

    Di dalam alFiqh alManhaji Ada dinyatakan bahawa : Waktu bermulanya sembelihan ialah bermula selepas terbit matahari pada Hari Aidul Adha iaitu sekadar sempat ditunaikan dua rakaat sembahyang dan dua khutbah. Kemudian berterusan waktunya hingga terbenam matahari pada akhir hari-hari Tasyrik iaitu 11,12, dan 13 Zulhijah. Waktu afdhal untuk menyembelih ialah selepas selesai solat sunat hari raya.

    Di dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda:

    إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِي يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّي ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَنْحَرُ فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا وَمَنْ ذَبَحَ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَهْلِهِ لَيْسَ مِنَ النُّسُكِ فِي شَىْءٍ

    Maksudnya: Perkara pertama yang kami mulakan pada hari ini, (hari raya) ialah kami solat. Kemudian kami pulang dan menyembelih korban. Oleh itu, sesiapa yang melakukan perkara  tersebut maka dia telah melaksanakan sunah kami. Dan sesiapa telah menyembelih sebelum itu,  maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya, bukan untuk ibadat korban sedikit pun (sembelihan biasa).

    Muttafaqun alaih.

    Perkara yang sama telah dinyatakan dalam kitab AlMausu’ah AlFiqhiyah AlKuwaitiyah bahawa;

    تستحب المبادرة الى التضحية فالتضحية في اليوم الاول افضل منها فيما يليه لانها مسارعة الى الخير وقد قال الله تعالى : وسارعوا الى مغفرة من ربكم وجنة عرضها السموات والارض اعدت للمتقين

    Maksudnya : Disunatkan agar menyegerakan menyembelih haiwan korban. Menyembelih haiwan korban pada hari pertama (hari Aidul Adha) lebih utama jika hendak dibandingkan pada hari selepasnya iaitu hari Tasyrik. Ini kerana ia dinilai menyegerakan kebaikan, sebagaimana firman Allah;

    وسارعوا الى مغفرة من ربكم وجنة عرضها السموات والارض اعدت للمتقين

    Maksudnya: Dan bersegeralah kamu pada keampunan dari Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.

    Di dalam hadis yang lain Ada dinyatakan juga bahawa :

    شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الأَضْحَى بِالْمُصَلَّى فَلَمَّا قَضَى خُطْبَتَهُ نَزَلَ مِنْ مِنْبَرِهِ وَأُتِىَ بِكَبْشٍ فَذَبَحَهُ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِيَدِهِ وَقَالَ: بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ هَذَا عَنِّى وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِى

    Maksudnya: Aku menghadiri (solat) bersama Rasulullah saw di musolla /tanah lapang. Setelah baginda berkhutbah, baginda turun dari mimbarnya dan dibawakan kepadanya seekor kibas. Kemudian Rasulullah saw menyembelih dengan tangannya, sambil mengatakan; Bismilllahi Allah Hu Akbar. Kibas ini dariku dan dari orang-orang yang tidak berkorban dari umatku.

    Kesimpulannya disunatkan ke atas kita untuk menyegerakan sembelihan haiwan korban secepat mungkin pada Hari Raya pertama. Walaubagaimanapun tidak menjadi masaalah untuk kita  menyembelih pada Hari berikutnya sehinggalah pada hari yang ke 13. Semoga korban kita pada  tahun Ini menjadi yang terbaik yang dapat kita persembahkan pada Allah. Semoga Allah menerima korban kita semua.

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING