More
    HomeIbadahAdakah Khutbah Solat Hari Raya Satu atau Dua Khutbah Seperti Khutbah Jumaat?

    Adakah Khutbah Solat Hari Raya Satu atau Dua Khutbah Seperti Khutbah Jumaat?

    Ikuti kami untuk info terkini

    Perbahasan ini sengaja saya bawa supaya dijadikan panduan untuk penuntut ilmu. Seperti mana yang kita maklum bahawa khutbah solat Hari Raya ni hukumnya sunat sahaja, tapi cara nak buat dia tu adakah sekali atau dua kali?

    Di sini ulama berbeza pendapat, ada yang mengatakan bahawa khutbah raya adalah sekali tidak seperti khutbah Jumaat.

    Ada juga yang mengatakan khutbah solat hari raya adalah dua khutbah sama seperti khutbah solat Jumaat.

    Pendapat yang mengatakan khutbah raya ni adalah satu khutbah sahaja adalah terdiri dari pendapat Abu Bakar, Umar, pilihan Saiyid Sabiq, Syeikh Uthaimin dan al Bani.

    Manakala jumhur ulama seperti Imam Syafie, Malik, Ahmad, Abu Hanifah dan pilihan pendapat Ibnu Hazim Zohiri mengatakan ianya dua khutbah.

    قال العثيمين : ومن نظر في السنة المتفق عليها في الصحيحين وغيرهما تبين له أن النبي , لم يخطب إلا خطبة واحدة

    Maksudnya : Mengikut Syeikh Uthaimin pandangan yang lebih tepat Rasulullah SAW tidak berkhutbah kecuali dengan hanya satu khutbah sahaja

    Mereka berdalilkan dari beberapa hadis antaranya :

    عن ابن عباس قال شهدت العيد مع رسول الله وأبي بكر وعمر وعثمان رضي الله عنهم فكلهم كانوا يصلون قبل الخطبة

    Syahid di dalam hadis ini hanya dinyatakan satu khutbah sahaja.

    وسئل فضيلة الشيخ ابن عثيمين رحمه الله : هل يخطب الإمام في العيد خطبة واحدة أو خطبتين ؟
    فأجاب :
    ” المشهور عند الفقهاء رحمهم الله أن خطبة العيد اثنتان ، لحديث ضعيف ورد في هذا ، لكن في الحديث المتفق على صحته أن النبي صلى الله عليه وعلى آله وسلم لم يخطب إلا خطبة واحدة ، وأرجو أن الأمر في هذا واسع ” انتهى .
    “مجموع فتاوى الشيخ ابن عثيمين” (16/246) .
    وقال أيضاً (16/248) :
    ” السنة أن تكون للعيد خطبة واحدة ، وإن جعلها خطبتين فلا حرج، انتهى .

    Syeikh Uthaimin pernah ditanya: Apakah imam solat hari raya itu berkhutbah sekali atau dua kali khutbah?
    Beliau menjawab: Pendapat yang masyhur dikalangan ahli fiqh bahawa khutbah hari raya itu terdiri dari dua khutbah, berdasarkan hadis doif. Namun pada hadis yang disepakati keshahihannya bahawa Rasulullah SAW tidak berkhutbah hari raya kecuali dengan satu khutbah, saya berharap bahawa perkara ini adalah perkara yang luas”. (Majmu’ Fatawa Syeikh Uthaimin16/246)
    Beliau juga mengatakan pada 16/248: “Yang sesuai mengikut sunnah bahawa khutbah hari raya adalah satu kali khutbah sahaja, jika imam menjadikannya dua khutbah maka tidaklah mengapa.

    Dalil yg kedua :

    أن الأصل صلاتها في المصلى من غير منبر
    Maksudnya: Asal solat hari raya ni adalah di padang.

    Seperti yang kita ketahui padang mana ada mimbar? Bila tiada mimbar macam mana nak duduk untuk memisahkan antara khutbah pertama dan kedua?

    Begitu juga di dalam fiqh sunnah Sayyid Sabiq mengatakan:

    سيد سابق في فقه السنة : وكل ما ورد في أن للعيد خطبتين فكله ضعيف :

    Semua yang mengatakan bagi hari raya 2 khutbah adalah doif.

    Manakala pendapat kedua mengatakan bahawa khutbah raya adalah sama seperti khutbah solat Jumaat iaitu dua khutbah.

    Bagi pendapat jumhur yang mengatakan solat hari raya ni ada dua khutbah ialah berdalilkan :

    عن ابن مسعود أنّه قال: السنة أن يخطب في العيدين بخطبتين يفصل بينهما بجلوس

    Maksudnya : Diriwayatkan oleh Ibnu Masud yang mana beliau mengatakan yang sunatnya khutbah hari raya adalah dengan dua khutbah diselangi dengan duduk.

    Adapun mengenai athar ini, Imam anNawawi mengatakan:

    قال النووي في الخلاصة : وما روي عن ابن مسعود أنه قال : السنة أن يخطب في العيد خطبتين يفصل بينهما بجلوس ، ضعيفٌ غير متصل ، ولم يثبت في تكرير الخطبة شيء ، والمعتمد فيه القياس على الجمعة ” انتهى .

    Maksudnya: Sunnahnya khutbah hari raya adalah terdiri dari dua khutbah dipisahkan/diselangi dengan duduk, riwayat ini adalah doif, tidak bersambung dan tidak ada dalil yang soheh mengenai khutbah hari raya kecuali diqiaskan pada Khutbah Jumaat.

    Dalam hal ini juga Imam Syafie rahimahullah dalam al Umm berkata: “Dari Ubaidillah bin Abdullah bin Utbah bahawa:

    السنة أن يخطب الإمام في العيدين خطبتين يفصل بينهما بجلوس ( قال الشافعي ) : وكذلك خطبة الاستسقاء وخطبة الكسوف ، وخطبة الحج ، وكل خطبة جماعة ” انتهى .

    Maksudnya: Sunnahnya bahawa imam berkhutbah dalam kedua solat hari raya dengan dua khutbah dipisahkah dengan duduk di antara keduanya”. Beliau juga berkata: “Perkara ini adalah merangkumi khutbah istisqa’, khutbah solat gerhana, khutbah haji, dan setiap khutbah berjamaah”.

    Juga boleh rujuk di Bada’I shana’I 1/276”, dan “al Mughni 2/121)

    Begitu juga di dalam kitab al mudawanah Imam Malik berkata:

    الخطب كلها ، خطبة الإمام في الاستسقاء والعيدين ويوم عرفة والجمعة ، يجلس فيما بينها ، يفصل فيما بين الخطبتين بالجلوس ” انتهى .

    Maksudnya: “Semua khutbah, baik istisqa’, kedua solat hari raya, khutbah hari Arafah, dan khutbah jumaat, adalah diselangi dengan duduk antara kedua khutbah”.

    Kesimpulannya tidak menjadi satu kesalahan samaada hendak berkhutbah satu atau dua kerana khutbah solat hari raya ini adalah sunat sahaja. Seeloknya kita mengikuti pendapat jumhur yang mengatakan khutbah solat raya boleh dibuat dengan dua khutbah.

    Pokok permasalahannya yang menjadi kesalahan ialah apabila kita langsung tidak mengerjakan solat hari raya dan mengisi masa dengan perkara sia sia. Perkara ini hanyalah sebahagian kecil khilaf di antara ulama sahaja.

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING