Sudah menjadi lumrah kebiasaan daripada kita bila kita menziarahi kubur, kita akan mencabut rumput di atas kuburan.
Dalam satu pendapat, kita dianjurkan untuk meletakkan dedaunan atau lainnya di atas perkuburan. Dikatakan selama mana dedaunan tersebut belum kering, ia akan mendoakan mayat yang berada di dalam perkuburan tersebut.
Ulamak khilaf pada hukum mencabut tumbuhan selagi mana tumbuhan tersebut belum kering, Ini disebabkan kerana mencabut sesuatu tumbuhan boleh menghilangkan hak mayat tersebut yang berupa doa dari tumbuhan tersebut.
Pendapat Pertama
Di dalam mazhab Syafie mereka mengatakan hukum mencabut rumput/tumbuhan, mematahkan ranting selagi mana ianya tidak kering adalah haram. Dalam hal ini sebagaimana dinyatakan dalam kitab Fathul Mu’in berikut ;
يسن وضع جريدة خضراء على القبر للاتباع ولأنه يخفف عنه ببركة تسبيحها وقيس بها ما اعتيد من طرح نحو الريحان الرطب ويحرم أخذ شيء منهما ما لم ييبسا لما في أخذ الأولى من تفويت حظ الميت المأثور عنه صلى الله عليه وسلم, وفي الثانية من تفويت حق الميت بارتياح الملائكة النازلين
Maksudnya: Disunatkan meletak pelepah kurma yang masih segar di atas kubur bagi mengikut sunnah nabi, kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan mayat akan diringankan dari siksa atas berkat tasbih/zikir pelepah kurma. Manakala hukum mencabutnya adalah haram selagi mana ia belum kering, kerana ia termasuk menghalangi sesuatu mayat mengambil manfaat dan haknya, berupa diringankan siksanya serta dikunjungi malaikat.
Di dalam Tuhfah al Muhtaj juga ada dinyatakan Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata : Haram mencabutnya (setelah diletakkan) seperti mana yang telah diperbahaskan (oleh ulama) kerana perbuatan mencabut itu menafikan hak mayat. Namun, jika tumbuhan itu sudah kering, ianya tidak mengapa. Disunatkan untuk meletakkan yang tumbuhan masih kehijauan dan membuang yang sudah kering, secara keseluruhan, kerana melihat kepada kaitan yang disebut oleh baginda SAW tentang keringanan azab dengan warna hijau selama mana tidak kering. Tuhfah al-Muhtaj.
Pendapat Kedua
Di dalam Mazhab Hanafi hukum mencabut tumbuhan di atas kubur hukumnya makruh sahaja sebagaimana AlKhadimi dalam Bariqah Mahmudiyyah mengatakan :
ويكره قطع الحطب والحشيش من المقبرة فإن كان يابسا فلا بأس به لأنه ما دام رطبا يسبح فيؤنس الميت
Maksudnya: Dimakruhkan memotong kayu dan rumput kuburan kecuali kalau ianya sudah kering, kerana setiap tumbuhan membaca tasbih selagi ia masih basah yang mana ianya boleh meringankan mayat tersebut.
Begitu juga Imam Ibn `Abidin al-Hanafi dalam al-Durr al-Mukhtar mengatakan: “Dimakruhkan juga untuk memotong tumbuhan yang masih segar, dan rerumput, dari perkuburan, kecuali yang sudah kering.”
Kesimpulannya hukum mencabut tumbuhan di atas kubur adalah haram bagi mazhab syafie dan makruh bagi mazhab hanafi.
Adapun mencabut tumbuhan yang sudah kering adalah harus bahkan disunatkan untuk diganti dengan tumbuhan yang baru. Begitu juga mencabut rumput semak bagi kelihatan kemas dan teratur juga adalah diharuskan.
Sebenarnya punca perbahasan hukum ini adalah berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda, ketika berjalan melewati dua kubur yang penghuninya sedang diseksa :
إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ، وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang diseksa, dan tidaklah keduanya diseksa disebabkan berbuat dosa besar. Yang satu diseksa kerana tidak bersuci setelah kencing sedang yang satunya lagi kerana selalu mengadu domba.”
Kemudian baginda mengambil sebatang dahan kurma yang masih basah daunnya lalu membelahnya menjadi dua bahagian kemudian menancapkannya pada masing-masing kuburan tersebut. Mereka (para sahabat) bertanya: “Kenapa engkau melakukan demikian?”. Baginda menjawab:
لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا
Maksudnya: “Semoga diringankan (seksaannya) selama batang pohon ini basah”
Dalam hal ini Al-Tibi berkata: “Hikmah pada perletakkan dua pelepah itu selama mana kedua-duanya masih lembab bahawa ia akan menghalang azab memiliki kemungkinan bahawa itu tidak diketahui oleh kita seperti bilangan malaikat Zabaniah.” Oleh itu, Al-Khattabi, dan ulama yang mengikutinya, mengingkari perbuatan orang ramai yang meletakkan pelepah tamar di atas kubur kerana mengikut hadis tersebut.
Begitu juga al-Tortusyi berkata: Ini kerana hal demikian hanya khusus dengan keberkatan pada tangan Baginda SAW.
Qadhi Iyadh juga berkata: Ini kerana Baginda meletakkan ilat pada menancap kedua-dua pelepah itu di atas kubur berdasarkan perkara yang ghaib, daripada sabda baginda bahawa “kedua-duanya sedang diseksa”.
Apapun yang pasti, tiada khilaf di antara ulama bahawa jaminan diringankan siksaan kubur adalah bergantung kepada amalan dan diri seseorang.