More
    HomeSyariatBerapa Lamakah Tempoh Iddah

    Berapa Lamakah Tempoh Iddah

    Soalan : Assalamu alaikum, berapa lamakah tempoh iddah suami/isteri untuk rujuk semula?

    Jawapan :

    Waalaikumussalam wr,wbt. Untuk makluman saudara tempoh eddah bagi isteri yang diceraikan ialah tiga kali suci bukan tiga bulan. Perkiraan tempoh suci ialah tarikh terakhir haid yang pertama (suci yang pertama) begitulah seterusnya, bagi haid yang kedua dan ketiga. Perkiraan 3 kali suci adalah bagi wanita yang dicerai dalam masa suci. Adapun wanita yang diceraikan ketika haid, maka iddahnya tamat ketika suci haid yang ke-4. Dalam hal ini pasangan tersebut boleh merujuk kerana tempoh eddah (talak raj’ie) masih belum tamat sehingga sebelum suci dari haid yang ketiga. Sekiranya perceraian tersebut berlaku diluar Mahkamah Syariah dinasihatkan supaya merujuk ke Mahkamah Syariah yang berdekatan bagi tujuan pendaftaran perceraian dan rujuk.

    Tambahan :

    Iddah dari segi bahasa ialah bilangan. Hal ini adalah kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan. Dari segi istilah, iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan yang menunggunya semata-mata mematuhi perintah Allah SWT atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan.

    Kedudukan iddah adalah dinyatakan seperti berikut :-

    1. Iddah kerana kematian – Jika perempuan itu mengandung semasa kematian suaminya maka iddahnya berakhir dengan kelahiran anaknya samada iddah itu mengambil masa yang panjang atau pendek. Jika isteri tidak mengandung atau mengandung bukan daripada benih suami yang meninggal dunia, seperti isteri mengandung sedangkan suaminya belum baligh atau suaminya telah lama hilang melebihi 4 tahun samada dia telah menyetubuhi isterinya ataupun belum maka iddahnya adalah dengan berakhirnya 4 bulan 10 hari.
    2. Iddah penceraian
      • Perempuan yang telah disetubuhi oleh suaminya dan diceraikan, samada dengan fasakh atau pun talak iddahnya ialah seperti berikut :
        • Perempuan yang mengandung, iddah berakhir dengan kelahiran anak yang dikandung.
        • Perempuan yang tidak mengandung dan belum putus haid maka iddahnya berakhir dengan 3 kali suci daripada haid, bermula selepas penceraiannya.
        • Perempuan yang tiada haid, samada kerana dia masih kecil atau pun telah putus haid maka iddahnya ialah dengan berakhirnya 3 bulan selepas perceraian
      • Iddah perempuan yang diceraikan sebelum disetubuhi. Perempuan yang belum disetubuhi oleh suaminya dan diceraikan secara fasakh atau talak tidak wajib beriddah. Berdasarkan maksud firman Allah dalam surah Al-Ahzab : 49.

    يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا نَكَحْتُمُ ٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا ۖ فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

    Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut’ah” (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.

    Justeru iddah amatlah penting bagi isteri-isteri yang telah diceraikan oleh suaminya untuk menjamin kedudukan pada masa hadapan mereka.

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING